Pertahanan tengah Dewa United FC, Junior Eldstal melabel Liga 1 Indonesia sebagai liga yang terbaik ketika ini.
Pemain berusia 32 tahun itu membuat keputusan untuk meninggalkan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah menghadapi saingan sengit dengan pemain import pasukan.
Beliau sebelum ini juga telah dipinjamkan ke kelab Liga 1 Thailand, Chonburi FC dan PT Prachuap selama semusim.
Bintang tinggi lampai ini bagaimanapun membuat keputusan untuk melangkah ke Indonesia dan menyertai salah satu kelab terbaik di sana.
Junior akhirnya membuka mulut mengenai keputusannya untuk meninggalkan Liga Malaysia dan membawa haluan baharu ke Indonesia.
“Ada banyak kualiti yang saya lihat dari barisan jurulatih dan juga pemain Dewa United. Saya sukakan suasana sebegini.”
“Indonesia kini memang terbaik, liga yang terbaik. Ada banyak pasukan yang boleh menang dan ada banyak yang boleh tersingkir,” jelasnya kepada Dewa United.
Persaingan sengit setiap pasukan menjadi faktor terbesar buat pemain kelahiran Kota Kinabalu ini untuk kembali merebut tempat bersama skuad kebangsaan.
Junior masih lagi dalam proses mendapatkan tahap kecergasan terbaik sebelum diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.