Pengendali America de Cali, Jorge da Silva mengakui terkejut apabila ayam tambatan kelab itu, Rodrigo Holgado dipanggil Harimau Malaya.
Sebelum ini, nama penyerang Argentina berusia 29 tahun itu menjadi bualan peminat bola sepak Malaysia.
Ini selepas seorang wartawan sukan Colombia melaporkan Holgado bakal menyertai kem Harimau Malaya untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun ini.
Apabila diminta mengulas perkara itu dalam sidang media pra-perlawanan kelab itu dengan Independiente Medellin, da Silva mengakui terkejut dengan berita berkenaan.
“Kami memang terkejut (dengan berita panggilan Harimau Malaya yang diterima) Holgado,” katanya.
“Pada awalnya, bila saya mendengarnya, saya ingat itu cuma khabar angin. Kemudian, saya bercakap dengan beliau dan dokumen rasmi (panggilan skuad kebangsaan) tiba di kelab.”
Jurulatih Uruguay itu tidak tahu sama ada proses dokumentasi Holgado sudah lengkap atau tidak. Pada masa sama, da Silva memaklumkan kelab akan memberi kerjasama apabila pemain dipanggil untuk tugasan antarabangsa.
“Saya tak tahu jika semua proses dokumentasi sudah lengkap untuk saya ulas sekarang atau sebaliknya,” ujarnya.
“Apabila pemain dipanggil untuk tugasan antarabangsa FIFA, menjadi kewajipan kelab untuk melepaskan pemain tersebut. Kelab dan jurulatih tidak boleh berbuat apa-apa.”
Sekiranya proses dokumentasi berjalan lancar, Holgado bakal menjadi pemain Malaysia terbaru yang berpangkalan di luar negara menyertai Harimau Malaya.