Prestasi buruk skuad bola sepak wanita Arsenal mendorong pengurus mereka, Jonas Eidevall meletak jawatan.
Perkara ini dimaklumkan pengurusan Arsenal menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan itu. Susulan itu, penolong ketua jurulatih, Renee Slegers menggalas peranan sebagai jurulatih interim.
“Kita berterima kasih kepada Jonas atas komitmennya kepada kelab dan pencapaian yang dilakar sejak menyertai kami pada 2021.
“Kita memiliki rasa hormat yang tinggi kepada dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan skuad wanita utama kita dan mengiktiraf peranan yang dimainkan beliau dalam mengembangkan dan memangunkan skuad wanita Arsenal. Kami mengucapkan selamat berjaya kepada beliau.
“Fokus kita akan beralih kepada proses pelantikan ketua jurulatih baru dan dan buat masa ini, menyokong Renee tatkala beliau memimpin pasukan secara interim bermula dengan dua perlawanan penting minggu ini,” kata pengarah sukan Arsenal, Edu Gaspar dalam satu kenyataan.
Eidevall telah membimbing skuad wanita The Gunners sejak tahun 2021. Meskipun membantu pasukan itu meraih gelaran juara Continental Tyres League Cup sebanyak dua kali, prestasi Arsenal terumbang-ambing untuk musim 2024/25.
Selain dibelasah 5-2 oleh Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita UEFA (UWCL), The Gunners juga tewas 2-1 kepada Chelsea dalam aksi terbaru Liga Super Wanita (WSL).
Slegers kini akan memimpin Arsenal untuk kempen UWCL menentang Valerenga dan aksi WSL menentang West Ham United.