Hari ini, Vietnam secara rasmi mengumumkan Philippe Troussier sebagai jurulatih baru skuad senior dan skuad bawah 22 tahun (B-22) mereka. Bagi bekas pengendali Jepun itu, beliau berharap dapat merealisasikan membawa skuad Naga Emas ke Piala Dunia.
Beliau memeterai kontrak empat tahun bersama Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) hari ini. Disebabkan Troussier pernah mengendalikan skuad bawah 19 tahun (B-19) Vietnam, beliau tahu pasukan ini dapat layak ke kejohanan bola sepak dunia berprestij itu.
“Pertama sekali, saya amat bangga menjadi jurulatih Vietnam. Ini selepas saya mendapat pulang untuk kembali ke negara indah ini yang saya cintai semasa menjadi jurulatih tiga tahun lepas.
“Saya faham kepentingan jawatan ini dan fokus saya tertumpu kepada semua tugas mendatang. Untuk capai sasaran seterusnya, saya tak perlu mula semula daripada asas.
“Jurulatih sebelum saya (Park Hang-seo) telah meninggalkan legasi skuad yang mantap. Selain itu, kelebihan memahami Vietnam dan pasukan kebangsaan Vietnam di semua peringkat bakal menjadi aset bernilai saya untuk kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya kepada Zingnews selepas majlis pengumuman perlantikan sebagai jurulatih Vietnam.
Bagi bekas pengendali Tunisia itu, dengan skuad yang ada, tiada yang mustahil untuk mereka layak ke kejohanan berprofil tinggi. Ini termasuklah layak ke Piala Dunia 2026 yang diadakan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Troussier percaya Vietnam mampu berbuat demikian disebabkan bilangan pasukan yang ditambah untuk temasya tersebut. Untuk temasya itu, 48 pasukan bakal mengambil bahagian berbanding 32 dalam temasya Piala Dunia 2022 yang lalu.
“Perubahan format Piala Dunia 2026 dengan 48 pasukan akan membantu Vietnam lebih yakin memburu tiket kelayakan ke pusingan akhir. Inilah matlamat utama yang patut dijadikan sebagai sasaran.
“Ia satu matlamat yang hebat tetapi ia tidak mustahil. Ini akan sentiasa menjadi matlamat utama untuk para penyokong dan kami harap dapat membalas kepercayaan mereka.
“Tuan-tuan dan puan-puan, matlamat yang saya tetapkan secara peribadi bila menerima jawatan ini bukan sekadar memperkukuh pencapaian jurulatih sebelum saya tetapi memperkukuh kedudukan bola sepak Vietnam di peta bola sepak dunia,” tambahnya.
Troussier bakal dibantu penolong jurulatih dari Maghribi, Moulay Azzeggouarh. Sementara Cedric Rogers dan Abderrahmen Mejbri pula memainkan peranan sebagai jurulatih kecergasan pasukan kebangsaan Vietnam.
Selain Jepun, Tunisia dan skuad B-19 Vietnam, Troussier juga pernah melatih Olympique Marseille, Afrika Selatan, Qatar, Maghribi dan FC Ryukyu. Tugas pertama jurulatih Perancis itu ialah membantu skuad B-22 mengekalkan pingat emas Sukan SEA acara bola sepak dalam temasya Sukan SEA yang diadakan di Kemboja pada Mei ini.