Kekalahan Brighton & Hove Albion kepada Man United semalam dalam aksi separuh akhir The Emirates FA Cup amat pahit untuk diterima termasuk pengurus mereka, Roberto De Zerbi. Jadi, tidak hairanlah pengurus Itali itu melabel Red Devils sebagai pasukan yang tak sepatutnya layak ke pentas final.
De Zerbi merujuk kepada beberapa statistik perlawanan semalam. Dalam aksi separuh akhir di Stadium Wembley itu, Seagulls mendominasi 61% penguasaan bola berbanding 39% (United).
Malah, mereka turut mendapat lapan sepakan sudut berbanding anak-anak buah Erik ten Hag (tiga). Dengan mengambil kira dua aspek ini, anak-anak buah De Zerbi dianggap lebih layak berbanding Red Devils.
“Selalunya bila membabitkan sepakan penalti, pemenang ialah orang yang tak layak, kita melakukan kesilapan pada hantaran terakhir sekitar kawasan gol tetapi saya gembira dengan persembahan pemain-pemain saya,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.
Tetapi De Zerbi terlupa dari segi percubaan, kedua-dua pasukan berkongsi 15 percubaan. Hanya United saja yang mengatasi dari percubaan ke arah gol dengan enam percubaan tepat berbanding Brighton (lima).
Selain itu, kegagalan barisan penyerang Seagulls diketuai Kaoru Mitoma menyempurnakan deretan peluang yang terhidang turut memastikan pasukan itu pulang dengan rasa hampa. Ini termasuk kegagalannya menewaskan penjaga gol United, David de Gea pada minit ke-103 masa tambahan.
Justeru, pada akhirnya, Red Devils tetap berhak layak ke final buat kali pertama sejak 2016. Dan jika mereka berjaya menafikan misi treble Manchester City di pentas final, maka kejayaan The Emirates FA Cup akan menjadi lebih indah buat anak-anak buah ten Hag.