Kemeriahan Piala AFF 2022 sedikit tercalar akibat mutu pengadilan yang lemah dalam beberapa perlawanan. Dan ini mendorong jurulatih Chonburi, Sasom Pobprasert melabel kejohanan kali ini sebagai yang paling teruk pernah disaksikan.
Mutu pengadilan yang lemah dan tiada akses kepada Penolong Pengadil Video (VAR) dilihat menyumbang kepada beberapa keputusan pengadil yang tidak masuk akal. Ini termasuk perlawanan separuh akhir pertama Malaysia-Thailand beberapa hari lepas.
“Piala AFF kali ini adalah kejohanan terburuk pernah saya saksikan. Semua kejohanan utama di negara membangun atau dalam Liga Thai menggunakan teknologi VAR, tetapi Piala AFF sehingga kini masih gagal melaksanakannya,” katanya.
Contoh paling mudah ialah dua insiden dalam perlawanan separuh akhir pertama. Malaysia naik angin apabila gol kedua mereka dibatalkan selepas Dominic Tan didakwa mengasari penjaga gol Thailand.
Manakala anak-anak buah Mano Polking pula seakan tidak percaya apabila pengadil tidak memberi sepakan penalti kepada mereka pada minit akhir perlawanan.
Tambah Sasom lagi, tanpa penggunaan VAR, pengadil akan membuat keputusan yang tidak tepat sekaligus merugikan pasukan-pasukan yang berlawan.
“Adalah menyedihkan pengadil hanya menggunakan matanya untuk menilai sesuatu situasi. Bukan hanya pasukan Thailand tidak mendapat dua sepakan penalti, tetapi pada perlawanan Indonesia menentang Vietnam, tuan rumah patut mendapat penalti,” ujarnya.
Sasom turut menyelar keputusan pengadil Ryuji Sato membuang padang Azam Azmi semasa perlawanan Kumpulan B Vietnam-Malaysia. Walaupun keputusan tersebut dibuat mengikut peraturan IFAB, ia masih dianggap mengarut oleh bekas jurulatih Port FC itu.
“Bagaimana ia boleh dikira sebagai penalti sedangkan kekasaran terjadi di luar padang? Apakah pertandingan ini semakin menunjukkan peningkatan atau ia sebenarnya merosot?” soalnya.
Yang pasti, kedua-dua pasukan pastinya berharap mutu pengadilan jauh lebih baik untuk perlawanan malam ini. Thailand dan Malaysia bakal beradu buat kali kedua bagi menentukan siapa yang bakal menjadi lawan Vietnam di pentas final.