Advertisements
Jurulatih India Mengeluh Panjang
Asia
MakanBola
All India Football

Pengendali India, Manolo Marquez meluahkan rasa tidak puas hati dengan kalendar perlawanan Indian Super League (ISL) baru-baru ini.

Marquez yang juga pengendali FC Goa berang kerana beberapa aksi ISL dilihat terlampau hampir dengan aksi antarabangsa membabitkan The Blue Tigers.

Salah satu aksi yang dirujuknya ialah aksi membabitkan Goa dan Mumbai City pada 19 Oktober lalu. Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-1 Mumbai ke atas tuan rumah.

Marquez menyifatkan ISL bernasib baik kerana India tidak berdepan Lubnan dalam satu lagi aksi antarabangsa di Vietnam pada Oktober. Pasukan Asia Barat itu terpaksa menarik diri untuk dua aksi persahabatan pada bulan tersebut susulan tindakan Israel menceroboh negara berkenaan.

Sekiranya perkara itu berlaku, ini bakal menjejaskan pemain-pemain ISL yang beraksi untuk India. Isu ini turut mendapat kritikan rakan senegara dan pengendali NorthEast United, Juan Pedro Benali.

“Saya bersetuju dengan Pedro Benali. Jurangnya terlampau besar kerana jadual perlawanan sangat teruk. Ini realiti. Mereka tak ambil berat tentang skuad kebangsaan India.

“Pasukan kebangsaan tamat tugasan (bermain pada Sabtu), kemudian ISL hanya bermula enam atau tujuh hari kemudian. Tetapi mereka menghentikan ISL (pada 5 Oktober) dan skuad kebangsaan perlu bermain dalam dua (tiga) hari.

“Lubnan menarik diri pada akhirnya (kejohanan tiga negara di Vietnam pada Oktober). Tetapi jika Lubnan beraksi, maka kita perlu bermain menentang mereka tiga hari selepas perlawanan terakhir ISL (sebelum rehat antarabangsa), itu sesuatu yang tidak normal,” katanya kepada Sportstar.

Marquez bukan satu-satunya jurulatih yang pernah mengeluh tentang isu jadual ISL. Bekas pengurus Aston Villa, John Gregory turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap jadual liga berkenaan.

Jurulatih Sepanyol itu berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan cara yang tuntas. Ini kerana isu jadual memberi kesan bukan saja kepada pasukan-pasukan ISL tetapi juga skuad India.

“Saya fikir mereka boleh melakukannya dengan cara yang lebih baik.Saya tak nak bercakap tentang hak (penyiaran) televisyen tetapi bermain satu perlawanan ISL setiap hari (itu bukan untuk saya).

“Saya lebih suka semua perlawanan pada hujung minggu. Jika ada kemungkinan dapat dimainkan secara serentak, maka itu lebih baik,” ujarnya.

India bakal turun menentang Malaysia di Hyderabad pada 18 November ini.