Advertisement
Jurulatih Iraq Percaya Vietnam Ada Petanda Baik
Asia
MakanBola
Marca

Biarpun menang tipis ke atas Vietnam dalam aksi kumpulan F Kelayakan Piala Dunia 2026, namun ianya bukanlah satu tugas yang mudah buat pasukan Iraq kendalian Jesus Casas.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu mengakui pasukan Vietnam beraksi sangat baik sehingga memaksa Iraq hanya berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-97 perlawanan.

“Perlawanan ini terlalu memenatkan dan tidak dapat diramalkan oleh kerana kedua-dua pasukan bermain dengan penuh dedikasi.

“Iraq mempunyai beberapa peluang tetapi tidak dapat memanfaatkannya, jadi kami terpaksa menunggu sehingga tamat perlawanan untuk menjaringkan gol,” jelas Casas dalam sidang media selepas perlawanan.

Namun begitu, Casas yakin Vietnam akan terus meningkat selepas jurulatihnya, Philippe Troussier meletakkan ramai pemain muda dalam perlawanan yang besar seperti semalam.

“Vietnam mempunyai ramai pemain muda yang berkualiti, ini petanda baik untuk anda. Apabila pemain muda bermain dalam perlawanan besar seperti hari ini, mereka akan meraih banyak pengalaman berharga bagi masa depan mereka,” katanya lagi.

Peluang masih terbuka dalam kumpulan F dengan Iraq mengumpul mata penuh iaitu 6 mata selepas dua perlawanan. Manakala Vietnam di tangga kedua dengan 3 mata. Indonesia dan Filipina di tempat ketiga dan keempat dengan mengumpul 1 mata selepas kedua-duanya terikat 1-1 dalam satu lagi aksi.