Ketua jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki akui satu perlawanan yang sukar bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Meskipun berjaya mengutip tiga mata berharga di laman lawan, jurulatih berusia 49 tahun ini tetap melihat satu peningkatan mendadak yang dipamerkan skuad kendalian Esteban Solari.
“Sukar untuk kami beraksi disini (Stadium Sultan Ibrahim). Satu perlawanan yang berkualiti dan berintensiti tinggi.”
“Pemain JDT miliki kualiti individu dan berpasukan yang baik. Mereka beraksi lebih baik berbanding musim lalu.”
Ketika beliau ditanya, adakah pada babak kedua perlawanan memang satu percaturan buat Kawasaki Frontale untuk bermain secara bertahan. Beliau akui memang transisi bertahan itu dalam perancangan pasukan.
“Ya itu memang arahan saya (bermain secara bertahan). Kami mahu beraksi lebih agresif tetapi kami susah untuk menyerang mereka (JDT),”ujar beliau ketika sidang media selepas perlawanan.
Untuk pertemuan ACL seterusnya, JDT bakal terbang ke bumi Thailand berdepan BG Pathum United pada Selasa, 3 Oktober 2023 sementara Kawasaki Frontale bakal melayan kunjungan Ulsan Hyundai pada hari yang sama untuk saingan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023.