Jurulatih Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic mengakui kekalahan 4-3 mereka di tangan Malaysia pada minggu lepas bakal menyukarkan usaha mereka layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Ini kerana ini akan menyukarkan usaha memburu kemenangan untuk baki aksi kelayakan Kumpulan D.
Dengan Oman menjadi lawan mereka seterusnya pada malam esok, Tarkovic mengharapkan anak-anak buahnya bukan saja dapat melupakan kekalahan pahit itu.
Malah, itu akan menjadi pembakar semangat untuk mereka bangkit dan merakamkan kemenangan sulung dalam Kumpulan D.
“Selepas ini, kita akan bermain di tempat sendiri menentang Oman. Kita perlu menganalisis perlawanan hari ini (Khamis lepas), buat kesimpulan dan cuba melupakan kekalahan ini secepat yang boleh.
“Para pemain bekerja keras tetapi kesilapan individu mengakibatkan kita pulang hampa. Tapi saya fikir dengan sokongan penyokong di tempat sendiri untuk perlawanan seterusnya, itu akan beri kita kekuatan dan keyakinan,” katanya di laman media sosial Kesatuan Bola Sepak Kyrgyzstan (KFU).
Kyrgyzstan akan turun menentang Al-Ahmar untuk aksi kedua kelayakan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek esok.