Jurulatih Laos Akui Jurang Kualiti Dengan Malaysia
MakanBola
Lao FF

Jurulatih Laos, Vladica Grujic mengakui jurang kualiti menjadi pemisah antara pasukan itu dengan Malaysia.

Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat Laos dibelasah 4-0 oleh Harimau Malaya dalam aksi kedua Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup.

Grujic melihat skuad negara memanfaatkan sepenuhnya pengalaman beraksi dalam saingan liga profesional untuk meraih kemenangan besar pada akhir perlawanan.

“Saya fikir kelebihan Malaysia ialah macam saya kata pemain bola sepak profesional. Jadi, pada 20 minit terakhir, anda boleh lihat kita dibolosi dua gol dan itu sangat berbeza. Mereka (kuat) berlari,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Selain itu, Grujic turut melihat Harimau Malaya banyak menghasilkan hantaran-hantaran yang mengelirukan benteng pertahanan Laos.

Hal ini mengakibatkan benteng pasukan itu dibolosi sebanyak tiga kali pada separuh masa kedua. Faktor tersebut turut disokong dengan kemasukan beberapa pemain gantian skuad negara dalam tempoh sama.

“Mereka bermain dengan kuat dan pantas, kerap menguji benteng saya. Ia satu perkara yang merbahaya dan memberi tekanan (kepada benteng Laos) setiap kali (mereka datang).

“Pemain berbeza, bila mereka datang, mereka sentiasa berada di belakang pemain pertahanan. Amat mudah untuk bermain dengan pantas menentang pemain pertahanan dan menolak bola ke dalam jaring. Mereka membuat serangan yang bagus,” tambahnya.

Keputusan ini menyaksikan Harimau Malaya menerajui Kumpulan B dengan enam mata. Laos pula masih belum mengutip sebarang mata selepas dua perlawanan.

Laos akan berdepan Filipina dan Myanmar pada 1 dan 4 Ogos. Malaysia pula akan menentang musuh tradisi, Thailand pada 1 Ogos.