Jurulatih Melbourne City, Rado Vidosic mengakui amat mengagumi kelab Thai League 1, Buriram United menjelang aksi ketiga Kumpulan H malam ini.
Malah, beliau juga turut mengintai kekuatan yang dimiliki pasukan itu semasa menjadi penolong jurulatih di kelab lamanya, Brisbane Roar untuk kempen ACL musim 2015.
Melihat prestasi yang dipamerkan pasukan itu dalam ACL setakat ini, Vidosic menyifatkan mereka sebagai lawan yang patut dihormati.
Pada masa sama, beliau percaya anak-anak buahnya mampu menangani cabaran Thunder Castle dan mengutip tiga mata penuh di Chang Arena malam ini.
“Saya teruja untuk melihat Buriram United, satu pasukan yang amat bagus. Tujuh tahun lalu, saya datang ke Thailand, sebuah negara yang saya amat kenali dan saya sentiasa mengikuti Buriram United.
“Saya juga mengetahui dan mengagumi jurulatih Buriram United, (Arthur) Papas.
“Pasukan kejurulatihan dan saya telah mengkaji gaya permainan setiap pasukan selepas kita mengetahui cabutan kumpulan terutama Buriram United.
“Saya melihat mereka sebagai satu pasukan yang hebat sejak perlawanan pertama menentang pasukan China (Zhejiang FC) dan Jepun (Ventforet Kofu).
“Perlawanan esok (hari ini) bakal menjadi menarik dan seronok. Dari segi persediaan perlawanan, kita juga mempunyai gaya permainan yang tersendiri,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan semalam seperti dilaporkan SiamSport.
Perlawanan malam ini dijangka menarik kerana ini bakal menentukan siapa pendahulu Kumpulan H seterusnya.
Ini kerana City dan Buriram masing-masing menguimpul empat dan tiga mata selepas dua perlawanan.
Sekiranya Zhejiang berjaya mengatasi Kofu malam ini, ini bakal mewujudkan persaingan terbuka sesama pasukan dalam Kumpulan H untuk layak ke pusingan seterusnya.