Jurulatih terkenal Palestin Hani Al-Masri, yang berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak Olimpik Palestin dilaporkan syahid dalam serangan udara yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas Gaza.
Pemergian jurulatih tersebut berlaku pada hari ke-92 konflik di antara Palestin dan Israel. Sehingga kini dilaporkan lebih 22,000 kematian dan 58,000 kecederaan telah berlaku yang kebanyakannya terarah kepada golongan wanita dan kanak-kanak.
Persatuan Bola Sepak Palestin melalui presiden, Jibril Rajoub melahirkan rasa dukacita yang mendalam di atas kehilangan jurulatih terkenal tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Al-Masri.
Persatuan Bola Sepak Palestin mengumumkan penghantaran mesej segera kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan persekutuan sukan tempatan dan antarabangsa, termasuk FIFA, untuk menuntut siasatan antarabangsa segera terhadap jenayah yang dilakukan Israel terhadap sukan dan atlet di Palestin.
Jika dilihat sebelum bermulanya perang Palestin-Israel, pemain bola sepak Palestin acap kali menjadi sasaran tentera Israel, sering dibunuh, cedera, dan ditahan dengan pelbagai alasan.
Kelab bola sepak di Palestin, termasuk pasukan kebangsaan, sering dihalang daripada bergerak bebas antara Tebing Barat yang diduduki dan Gaza yang terkepung dek kerana kekejaman Israel.
Pemain dari Gaza telah berulang kali dihalang daripada menyertai skuad pasukan kebangsaan dalam perlawanan serantau dan antarabangsa. Ianya sekali gus menyekat aksi pasukan kebangsaan Palestin di pentas antarabangsa.