Advertisement
Jurulatih Piala Dunia Bimbing Skuad Wanita Thailand
UltraSukan
UltraSukan
FA Thailand

Kepakaran bekas jurulatih Piala Dunia dari Jepun, Futoshi Ikeda ditagih Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) untuk membimbing skuad wanita negara itu.

Pelantikan jurulatih berusia 54 tahun itu diumumkan FAT menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka.

“Nualphan Lamsam, Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand memperkenalkan Futoshi Ikeda sebagai ketua jurulatih rasmi skuad bola sepak wanita kebangsaan Thailand,” kata FAT dalam satu kenyataan.

“Sasaran utama beliau ialah membawa pasukan untuk layak ke Piala Dunia Wanita sekali lagi buat kali ketiga pada tahun 2027 di Brazil.”

Ikeda mengakui cukup teruja apabila diberi peluang membimbing skuad wanita Thailand. Meskipun sedar ini bukan tugas mudah, beliau bersedia melakukan yang terbaik untuk merealisasikan matlamat tersebut.

“Saya rasa bangga dan teruja dengan peluang ini. Ini kerana ini satu peluang penting bekerja di luar negara buat kali pertama dan tugas mencabar untuk membawa skuad wanita Thailand ke Piala Dunia Wanita 2027 di Brazil,” katanya.

“Saya beri jaminan saya akan gunakan pengalaman dan keupayaan saya untuk membawa pasukan mencapai matlamat mereka. Buat peminat bola sepak Thailand, sila berikan sokongan kepada saya.”

Ikeda pernah membimbing skuad wanita Jepun dari 2021 hingga 2024. Beliau bukan saja membantu pasukan itu mara ke suku akhir Piala Dunia Wanita 2023.

Malah, Ikeda turut membimbing skuad wanita Jepun mara ke peringkat suku akhir Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis. Cabaran Jepun ditamatkan oleh Amerika Syarikat menerusi kemenangan tipis 1-0.