Jurulatih Portugal, Fernando Santos mengakui menolak Cristiano Ronaldo ke bangku simpanan adalah salah satu keputusan sukar yang dibuatnya sebelum aksi pusingan kedua Piala Dunia menentang Switzerland, namun gembira ia membawa impak lebih hebat daripada yang dijangka.
Ronaldo yang bermain di kesebelasan utama dalam tiga aksi peringkat kumpulan, digantikan oleh Goncalo Ramos dan dia membalas kepercayaan Santos apabila meledak hatrik dalam membantu kemenangan bergaya 6-1 ke atas Switzerland.
Ia juga kali pertama dalam 31 perlawanan terakhir Portugal, bekas penyerang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu tidak diturunkan dalam kesebelasan dan dia hanya masuk pada minit ke-73 menggantikan Joao Felix ketika Portugal sudahpun mendahului selesa 5-1
Santos menafikan dia membuat keputusan merehatkan Ronaldo kerana ‘makan hati’ dengan reaksi ditunjukkan pemain itu ketika dikeluarkan pada perlawanan menentang Korea Selatan, sebaliknya memberitahu ia tidak lebih dari perancangan taktikal strategik.
Dia juga menepis andaian bahawa hubungannya dengan Ronaldo menjadi keruh disebabkan insiden tersebut.
“Saya fikir tidak perlu ungkit cerita beberapa hari lalu, saya katakan ia sudah habis maka ia sudah habis di situ. Cristiano Ronaldo seorang daripada pemain terbaik di dunia dan bermain secara profesional dan dia kapten pasukan, manakala saya pula jurulatih. Jadi kami harus memikirkan pasukan secara bersama.
“Saya sentiasa ada hubungan yang rapat dan baik seperti selalu dengan Ronaldo, mengenalinya sejak berusia 19 tahun di Sporting dan kemudian bertahun-tahun dalam skuad kebangsaan.
“Ronaldo dan saya tidak pernah keliru dalam hubungan kemanusiaan serta juga aspek peribadi dengan jurulatih dan pemain. Dia pemain yang sangat penting untuk berada dalam pasukan, pengalamannya dan karakternya adalah lebih dari luar biasa.
“Dan saya tahu hari ini dia boleh terima apa yang saya buat dengan mengetepikannya dari kesebelasan adalah kerana kepentingan pasukan, tidak lebih dari itu. Dia boleh melihat pasukan bermain dengan baik tanpanya dan saya tahu sudah tentu dia gembira dengan kemenangan hebat ini,” kata Santos.
Di peringkat suku akhir, Portugal akan menentang Maghribi, satu-satunya wakil Afrika yang masih meneruskan perjuangan di Piala Dunia selepas mengejutkan pasukan pilihan Sepanyol menerusi tendangan penalti.
Ronaldo sebelum ini ada memberitahu, andai Portugal berjaya menjulang Piala Dunia kali ini, dia akan mengumumkan persaraannya dari kancah bolasepak.