Jurulatih Seoul FC, Kim Ki-dong melihat kehadiran Jesse Lingard ke dalam pasukannya itu tidak memberikan impak yang diharapkan.
Dari kaca mata Ki-dong, Lingard bukanlah seorang pemain bola sepak kerana bekas pemain Manchester United itu malas berlari di dalam perlawanan.
“Saya telah banyak berfikir untuk mengeluarkan Jesse Lingard. Saya tidak fikir pemain yang tidak berlari selama beberapa minit adalah pemain bola sepak.
“Jika dia tidak mahu bersaing dan tidak berlari, lebih baik ambil pemain yang berlari selama 90 minit. Jika anda bermain bola sepak kerana nama, bukankah kita patut mengambil pemain yang telah bersara?,” jelas Kim Ki-dong seperti dikongsikan CentreGoals di laman X.
Untuk rekod, Lingard masih belum meberikan impak di kelab itu selepas perpindahan mengejutkan ke Korea Selatan. Dia hanya membuat tiga penampilan sebagai pemain gantian dan masih belum merekodkan sebarang jaringan dan assist.
Lebih malang, Lingard sudah mempunyai dua kad kuning. FC Seoul kini menduduki tempat ketujuh dalam carta Liga K1 selepas empat perlawanan dan hanya memenangi satu perlawanan setakat ini.