Advertisements
Jurulatih Singapura Kecewa Pasukannya Tak Mampu Melawan Guam
Asia Tenggara
MakanBola
FA Singapore

Jurulatih skuad B-23 Singapura, Nazri Nasir merasa kecewa selepas anak-anak buahnya tidak berupaya mengatasi cabaran pasukan kerdil, Guam dalam aksi kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Aksi kedua Kumpulan C menyaksikan Singapura sekadar seri 1-1 dengan The Nobleman di Stadium Viet Tri semalam. The Young Lions mendahului menerusi sepakan penalti Farhan Zulkifli pada minit ke-63.

Biarpun dianggap lebih bagus daripada pasukan yang berasal dari rantau Pasifik itu, Singapura tidak berupaya menambah gol. Sebaliknya, Riku Meyar memastikan kedua-dua pasukan meraih satu mata dengan gol pada minit ke-88.

Keputusan ini sukar ditelan Nazri memandangkan The Young Lions mendominasi pihak lawan. Selain itu, beliau juga kurang berpuas hati dengan anak-anak buahnya yang hilang fokus pada akhir perlawanan sehingga menyumbang kepada gol penyamaan Guam.

“Saya amat kecewa. Dalam perlawanan ini, (skuad) B-23 Singapura mengawal permainan sepenuhnya. Tapi dalam bola sepak, bila anda hilang fokus, (anda) akan hilang kawalan dan keputusannya tidak bagus seperti dijangkakan,” katanya seperti dilaporkan portal Vietnam, BaoMoi.

Singapura masih berpeluang layak ke Piala Asia B-23 2024 menerusi slot naib juara kumpulan terbaik. Begitupun, anak-anak buah Nazri bakal berdepan tugas sukar kerana perlu mengalahkan Vietnam dalam aksi terakhir kumpulan pada 12 September ini.