Advertisements
Jurulatih Tanduk Pemain Lawan, Akhirnya Dibuang Kerja
TV
MakanBola
Sky Sports Italia

Tindakan seorang jurulatih menanduk pemain lawan dalam aksi terbaru Serie A baru-baru ini mencetuskan keributan dalam kalangan peminat bola sepak Itali.

Akhbar Daily Mirror melaporkan insiden ini tercetus antara pengurus Lecce, Roberto D’Aversa dengan pemain Hellas Verona, Thomas Henry.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan panas kerana membabitkan dua pasukan yang semakin menghampiri zon penyingkiran Serie A ketika ini.

Verona mendapat tiga mata pada akhir perlawanan menerusi gol Michael Folorunsho pada minit ke-17. Bagaimanapun, insiden pada akhir permainan yang mencuri perhatian penyokong.

Selepas Henry dibuang padang pada minit akhir permainan, pemain Belgium itu didakwa memprovokasi pemain Lecce. D’Aversa kemudiannya masuk ke padang sebelum menanduk Henry.

Insiden memaksa kedua-dua pihak terpaksa diasingkan bagi mengelak pertelagahan lebih serius berlaku. D’Aversa kemudiannya turut dibuang padang oleh pengadil atas apa yang berlaku.

Selepas perlawanan, jurulatih berusia 48 tahun itu mengakui apa yang berlaku merupakan satu kesilapan dan memohon maaf kepada semua pihak.

“Saya pastinya tidak masuk padang untuk menanduk pemain dan ia bukanlah sesuatu yang dirancang.

“Jika tidak, saya akan berkata begitu. Melihat kembali imej yang mereka katakan satu perkara, saya katakan bahawa ia merupakan akibat daripada beberapa provokasi (yang berlaku) pada penghujung perlawanan.

“Saya sudah bercakap dengan pengurus Verona (Marco Baroni). Saya memohon maaf kerana perbuatan itu, ia tidak bagus untuk dilihat,” katanya.

Susulan itu, Lecce mengecam tindakan yang dilakukan D’Aversa dan memutuskan untuk memecatnya berkuatkuasa semalam.

Sebaik video D’Aversa menanduk Henry muncul di media sosial, video tersebut tular dalam kalangan peminat bola sepak.

Ini kerana insiden tersebut mengingatkan mereka kepada tindakan legenda Perancis, Zinedine Zidane menanduk legenda Itali, Marco Materazzi semasa aksi final Piala Dunia 2006.

Related Articles