Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrückner memberi bayangan akan menyisihkan dua penyerang import mereka, Adisak Kraisorn dan juga Ivan Mamut.
Kedua-dua pemain ini merupakan penyerang baharu yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kali ini bagi menggantikan peranan Kpah Sherman dan juga Tchetche Kipre yang berhijrah ke pasukan lain.
Terengganu yang beraksi di pentas Asia musim ini jelas bergelut untuk menjaringkan gol apabila Adisak dan juga Mamut masih tidak mendapat sentuhan yang diharapkan.
Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Croatia ini tidak menolak kemungkinan akan mempertimbangkan peranan pemain lain untuk mengambil alih posisi pada bahagian serangan.
Tomislav juga mengakui perlu berfikir tentang peranan seorang lagi penyerang import, Jordan Mintah yang masih belum membuat penampilan bersama Terengganu dalam skuad utama.
“Saya perlu berfikir tentang Jordan (Mintah) dengan serius kerana Adidak dan Ivan Mamut masih tidak menjaringkan gol.”
“Adisak melepaskan beberapa peluang tetapi kadang kala ini baik untuk pemain kerana berjaya meletakkan diri dalam posisi penciptaan peluang,” jelasnya.
Beliaunyakin pasukannya tidak akan memperoleh kemenangan sekiranya tidak dapat menjaringkan gol dan mahu segera menyelesaikan isu ini selepas bakal bertemu PDRM di laman sendiri hujung minggu hadapan.