Ketua jurulatih Sabah, Justin Ganai berkongsi 2 isu utama yang menjadi masalah buat pasukan kendaliannya bagi menghadapi aksi kelayakan AFC Women’s Champions League (AWCL).
Menurut Justin, skuad bimbingannya sudah memberikan segala yang terbaik meskipun diuji dengan masalah utama menjelang sepak mula perlawanan pertama pada Rabu.
”Persiapan kami bagi kejohanan (kelayakan) ini, kita sudah sedaya upaya untuk bersedia tetapi memang ada banyak masalah yang kami hadapi juga,” kata Justin ketika sidang media.
Antara masalah yang dihadapi anak-anak buahnya adalah keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini selain penggunaan padang latihan yang terhad.
”Pertama sekali, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan (ditambah) sekarang musim hujan. Kemudian, (masalah) padang juga sebab kita tidak menggunakan padang SAFA untuk berlatih.”
Walau bagaimanapun, Justin tampak lega apabila dapat menggunakan padang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak beberapa hari lalu meskipun masa seakan suntuk buat pasukannya.
”Sebab padang itu pun kami perlu bergilir-gilir dengan pasukan senior, jadi tidak boleh digunakan hari-hari tetapi kita sudah dapat menggunakan padang UMS beberapa hari lalu namun tidak cukup.”
”Maknanya persiapan kami untuk kejohanan ini, tidak begitu lengkap. Walau bagaimanapun, kami cuba untuk mempersembahkan permainan yang terbaik.”
Perkara sama turut diluahkan kapten pasukan, Steffi Sarge Kaur yang bersetuju dengan perkongsian Justin namun itu bukan alasan untuk tidak memberikan aksi terbaik di atas padang.
”Apa yang jurulatih (Justin Ganai) cakap saya bersetuju, kami selaku pemain akan menunjukkan satu persembahan yang baik kerana ini adalah tahap terbaik untuk bola sepak wanita di Malaysia,” ujar Steffi.
Sabah membuka kempen kelayakan kumpulan C berdepan wakil Nepal, APF FC pada 28 Ogos sebelum turun dalam aksi kedua menentang Nasaf dari Uzbekistan empat hari kemudian.
Hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke saingan utama dan bakal menghuni kumpulan A bersama jaguh dari China dan Korea Selatan selain juara kelayakan kumpulan A.