Jutawan terkaya di Britain, Sir Jim Ratcliffe akhirnya memuktamadkan pengambilalihan 25% saham Man United semalam.
Pengambilalihan saham bernilai £1.3 bilion (RM7.6 bilion) itu diumumkan di laman sesawang rasmi United.
Perjanjian ini menyaksikan Ratcliffe diberi kawalan penuh operasi bola sepak United dari infrastruktur hinggalah urusan perpindahan.
Ratcliffe merasa gembira selepas berjaya memuktamadkan pembelian saham tersebut dan berikrar akan mengembalikan zaman kegemilangan United.
“Sebagai anak tempatan dan penyokong kelab sejak sekian lama, saya gembira bahawa kita telah mencapai persetujuan dengan lembaga pengarah Manchester United untuk mengambil alih tanggungjawab pengurusan operasi bola sepak kelab.
“Walaupun kejayaan komersial kelab memastikan dana tersedia untuk memenangi trofi di peringkat tertinggi, potensi kelab ini tidak pernah digunakan sepenuhnya sejak kebelakangan ini.
“Kita akan membawa pengetahuan global, kepakaran dan bakat dari kumpulan INEOS Sport untuk membantu penambahbaikan kelab dan menyediakan dana khas untuk membenarkan pelaburan ke atas Old Trafford.
“Kita berada di sini untuk jangka masa panjang dan menyedari cabaran dan kerja keras yang menanti di hadapan, kita akan hadapinya dengan tabah, semangat dan profesional.
“Kita komited untuk bekerjasama dengan semua orang di kelab – lembaga pengarah, pemain dan penyokong untuk membawa kelab ini ke hadapan.
“Kita berkongsi cita-cita yang jelas: kita semua mahu Manchester United kembali berada di tempat yang sepatutnya kita berada, di kemuncak bola sepak Inggeris, Eropah dan dunia,” katanya.
Ratcliffe sebelum ini perlu bersaing dengan jutawan Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad Al-Thani bagi mendapatkan pemilikan United selepas keluarga Glazers mengumumkan kelab itu dijual pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, pemilik kelab Nice itu mendapat laluan mudah selepas Sheikh Jassim kemudiannya menarik diri daripada mendapatkan pemilikan The Red Devils.
Ratcliffe dijangka membawa masuk Sir Dave Brailsford dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) INEOS Sports, Jean-Claude Blanc dalam lembaga pengarah.
Blanc juga dikatakan bakal dilantik sebagai CEO baru United selepas Richard Arnold meletak jawatan sebagai CEO baru-baru ini. Ketika ini, Patrick Stewart menggalas peranan sebagai CEO interim.
Pengambilalihan 25% saham ini dijangka mengambil masa selama enam hingga lapan minggu untuk diluluskan oleh pihak berkuasa termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sekiranya pengambilalihan ini berjalan lancar, Ratcliffe dijangka mengetuai operasi bola sepak The Red Devils pada Februari ini.