Jutawan Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad al-Thani memilih untuk membatalkan hasrat mendapatkan kelab gergasi EPL, Manchester United.
Keputusan ini telah disampaikan Sheikh Jassim kepada pemilik United, keluarga Glazers semalam.
Beliau berbuat demikian kerana merasakan nilai jualan yang ditetapkan mereka sebagai tidak munasabah.
Akhbar The Guardian mendedahkan The Red Devils bernilai £2.63 bilion (RM15 bilion) mengikut nilai pasaran semasa.
Sheikh Jassim dengan sokongan konsortium dari Qatar telah meletakkan nilai bidaan dua kali ganda lebih tinggi daripada nilai pasaran untuk United.
Bagaimanapun, bidaan tersebut tetap ditolak dengan dua daripada ahli keluarga Glazers, Joel dan Avram dikatakan mahu mengekalkan pegangan dalam pasukan dari Manchester itu.
Ini membuka jalan kepada jutawan terkaya di Britain, Sir Jim Ratcliffe untuk mendapatkan pegangan 25% dalam Manchester United.
Ini seterusnya membawa kepada pemilikan penuh kelab itu oleh beliau pada masa akan datang.
Berita ini dijangka menambah lagi kemarahan penyokong terhadap keluarga Glazers lebih-lebih lagi selepas mereka mengakibatkan The Red Devils dibebani hutang £1 bilion (RM5.73 bilion).
Ini juga bakal menyukarkan tugas pengurus Erik ten Hag untuk mengembalikan kestabilan dalam The Red Devils selepas permulaan bercampur-campur musim ini.