Jutawan Serbia Pemilik Baru Southampton
EPL
Peter Nicholls/Reuters
Advertisements

Pada permulaan musim perpindahan Januari, ramai menjangkakan kelab-kelab seperti Newcastle, Manchester City dan Chelsea berbelanja besar. Tetapi seminggu lepas, semua itu berubah selepas Southampton diambil alih oleh jutawan Serbia Dragan Solak dengan nilai £200 juta (RM1.14 bilion).

Pengambilalihan itu dimuktamadkan menerusi pembelian pegangan 80% kelab milik jutawan China, Gao Jisheng. Jutawan China itu memiliki saham berkenaan dengan nilai £210 juta (RM1.2 bilion) pada 2017.

Bagaimanapun, situasi pandemik Covid-19 dan kesukaran membawa keluar wang dari China mendorong Jisheng untuk menjual pegangan majoritinya dalam Saints.

Advertisements

Sebelum ini, beliau cuba mengadakan perjanjian dengan pemilik Bordeaux, Joseph DaGrosa tetapi ia tidak berhasil. Dengan penjualan saham majoritinya, Jisheng sekurang-kurangnya mendapat pulangan modal daripada pembelian saham yang dibuat pada 2017. Katharina Liebherr terus kekal sebagai pemegang saham minoriti kelab sebanyak 20%.

Solak dan rakan-rakan pelaburnya dari Sport Republic berharap dapat melaksanakan model pemilikan kelab sama seperti Manchester City dan Red Bull. Solak yang mempunyai kekayaan melebihi £1 bilion (RM5.7 bilion) dijangka akan menjadi pelabur utama Sport Republic – syarikat akan menjadi syarikat induk yang mentadbir kelab-kelab milik mereka termasuk Southampton.

Bekas pengarah sukan Brentford, Rasmus Ankersen dijangka akan dilantik sebagai CEO syarikat induk tersebut. Sementara pelabur yang berpangkalan di London, Henrik Kraft merupakan pengerusi Sport Republic. Kedua-duanya dijangka akan mempunyai peranan dalam lembaga pengarah Saints. Setakat ini, tiada perubahan drastik dalam struktur pengurusan kelab dengan Martin Semmens kekal sebagai CEO.

Advertisements

Begitupun, usah berharap kelab akan berbelanja besar seperti Newcastle seperti ditegaskan pengurus Ralph Hassenhuttl. Jika mereka berbelanja sekalipun, mereka akan mensasarkan pemain muda dan berpotensi seperti Tino Livramento dan Armando Broja dari Chelsea.

Dengan memberi mereka platform beraksi di atas padang, pemain-pemain ini berpotensi menjadi bintang-bintang baru bola sepak. Model pembangunan ini mirip dengan model pembangunan pemain kelab lama Hassenhuttl, RB Leipzig.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram