Ketika ini, pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 sedang berjalan dengan dua perlawanan terakhir bakal berlangsung malam ini. Tetapi bagi sesetengah penyokong, ada yang mengambil kesempatan ke Qatar agar berpeluang mengerjakan ibadat umrah pada kadar yang berkemampuan.
Salah seorang yang mengambil kesempatan ini ialah Ahashanuzzaman Shujan dari Bangladesh. Dia membeli dua tiket perlawanan pada 28 November dan 2 Disember. Dalam tempoh tiga hari perlawanan yang mahu ditontonnya, Shujan menggunakan tempoh tersebut menunaikan umrah di Tanah Suci. Dan ia jauh lebih berpatutan terima kasih kepada kad Hayya yang diperolehinya selepas mendapatkan tiket perlawanan.

Kad Hayya ialah dokumen identiti bergambar yang diberi kepada peminat bola sepak yang menghadiri temasya Piala Dunia 2022 di Qatar. Peminat boleh mendapatkan kad ini dengan syarat memiliki sekurang-kurangnya satu tiket perlawanan Piala Dunia sebagai bukti.
Dengan kad ini, pemegang kad boleh memasuki Qatar, Arab Saudi, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa memerlukan visa. Selain itu, pemegang kad boleh mengakses perkhidmatan bas dan metro secara percuma pada hari perlawanan. Bagi penyokong antarabangsa pula, mereka boleh menjemput tiga individu bukan pemegang tiket menyertai mereka di Qatar dengan nama-nama ini akan ditambah pada kad Hayya.
Bagi Shujan, sekiranya mahu mengerjakan umrah menggunakan kaedah biasa di Bangladesh, jemaah perlu membayar kos sekurang-kurangnya AS$2,400 (RM10,513). Tetapi dengan kad Hayya, dia hanya perlu membayar AS$150 (RM657), tak termasuk tambang tiket penerbangan dari Doha ke Jeddah yang berharga AS$200 (RM876).
Semasa ditemubual TRTWorld, Shujan menambah, “Ini merupakan satu perjalanan yang tak dapat dilupakan. Saya dapat menonton Piala Dunia, menonton perlawanan-perlawanan terbaik dan bergerak dari satu negara Timur Tengah ke satu negara yang lain. Tetapi mengerjakan umrah dengan mudah dan pada kos berpatutan merupakan kemuncak kepada semua ini. Itu merupakan peluang sekali seumur hidup.
Pemegang kad Hayya patut memanfaatkan peluang mengerjakan umrah sementara masa masih ada. Ini kerana visa Hayya untuk memasuki negara-negara ahli Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC) termasuk Arab Saudi hanya sah dari 11 November hingga 18 Disember ini.