Kapten Harimau Malaya, Dion Cools menjadi wira Buriram United aksi pusingan pertama Thai League Cup 2024/25 baru-baru ini.
Pemain pertahanan berusia 28 tahun itu membantu Thunder Castle menewaskan kelab Thai League 2, Lampang FC.
Buriram sebelum itu dikejutkan dengan gol pendahuluan tuan rumah yang dijaringkan Mehti Sarakham pada minit ke-35. Ini gol kedua graduan akademi Thunder Castle itu bersama Lampang.
Cools memastikan pelawat meraih gol penyamaan sebelum rehat separuh masa. Bekas pemain pertahanan FC Brugge itu mudah menyempurnakan hantaran Sasalak Haiprakhon untuk menewaska penjaga gol Lampang, Kittisak Moosawat.
Penyerang berbisa Thailand, Supachai Chaided memastikan kemenangan milik Buriram dengan gol pada separuh masa kedua.
Kejayaan ini bukan saja membantu Thunder Castle mara ke pusingan kedua Thai League Cup 2024/25. Malah, ini membantu pasukan yang dibimbing Osmar Loss Vieira itu kekal tanpa kalah dalam 12 perlawanan semua kejohanan.
Kali terakhir Buriram merasai kekalahan ialah aksi Shopee Cup menentang Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) pada 22 Ogos lalu.
Prestasi memberangsangkan Cools bersama Buriram juga merupakan berita baik buat Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa pada November ini.
Malaysia bakal berdepan Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November. Ini disusuli aksi menentang India di Hyderabad pada 18 November.