Pengurus pasukan Sabah, Rafie Robert menafikan khabar angin tentang tunggakan gaji yang berlaku terhadap pasukan Sabah.
Rafie menyatakan kekalahan pasukan Sabah kepada Terengganu dalam aksi suku akhir Piala FA baru-baru ini bukan disebabkan masalah gaji yang melanda pasukan.
“Isu kekalakan disebabkan enam bulan gaji tidak dibayar? Gila kah. Cuba tanya pemain betul atau tidak.”
Pengurus Sabah itu menegaskan berita yang tular tentang tunggakan yang menimpa pemain selama enam bulan, empat bulan dan dua bulan adalah tidak betul.
“Saya boleh jawab, tiada tunggakan gaji seperti yang ditularkan enam bulan, empat bulan ataupun dua bulan. Semuanya sudah diselesaikan oleh pihak pengurusan kelab.”
“Pengurusan pasukan hanya menjalankan amanah daripada pihak atasan. Tugas saya sebagai pengurus adalah membantu ketua jurulatih dalam urusan pasukan termasuklah jadual latihan, jadual pertandingan dan kebajikan pemain dan tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam mengurus kewangan.”
Sabah dalam kempen Piala FA 2024 terkandas di pusingan suku akhir selepas tewas kepada Terengganu dengan agregat 8-0.
Dalam saingan Liga Super 2024, Sabah masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan. Berada di kedudukan empat dalam carta Liga Super, The Rhinos berjaya mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri.