Penjaga gol Kedah Darul Aman, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi percaya dengan kemampuan rakan sepasukan untuk memberikan yang terbaik buat pasukan sekaligus tekad menyekat hasrat Johor Darul Ta’zim yang mahu membolosi gawangnya.
Beliau menjelaskan setiap pemain sudah membuat persiapan rapi berdepan JDT nanti dan apa yang menjadi fokus utama Kedah adalah mendapatkan banyak jaringan .
Kalamullah juga akui agak sukar beraksi di tempat lawan, tetapi baginya ketika perlawanan semua perkara boleh jadi, hanya perlu bekerja keras untuk melakar kemenangan kelak.
“Semua pemain sudah fokus dalam latihan dan membuat persiapan berdepan JDT,” katanya.
“Kami mahu memastikan tidak dibolosi awal dan mendapatkan banyak jaringan itu menjadi sasaran utama pasukan berdepan JDT,” ujarnya kepada Stadium Astro.
“Beraksi di tempat lawan, ia adalah sukar buat mana-mana pasukan namun apa sahaja boleh berlaku dan kami mahu mempamerkan aksi terbaik sebagai satu pasukan dan berharap keputusan memihak kami.”
Kedah bakal bertemu pencabar terbesar JDT dalam minggu kelapan saingan Liga Super 2023 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad 9 April 2023.