“Kalau Alex Ferguson Masih Melatih, Dia Mungkin Kini Di Penjara”
MakanBola
Manchester United

Bekas pemain Manchester United, Patrice Evra menganggap jika Sir Alex Ferguson masih menjadi jurulatih, mungkin jurulatih kelahiran Scotland itu kini berada di dalam penjara.

Evra berkata sedemikian selepas mengingatkan tentang pendekatan Ferguson yang sangat tegas ketika mengendalikan Manchester United suatu ketika dulu.

“Jika (Alex) Ferguson melatih sekarang dia mungkin akan dipenjara. Adakah anda tahu berapa ramai pemain yang saya lihat menangis kerana dia (Ferguson) memberi mereka pengering rambut dan membaling but,” jelas Evra seperti dilaporkan Dailymail.

Untuk rekod, bekas pemain bintang Manchester United, David Beckham merupakan salah seorang ‘mangsa’ ketegasan Ferguson apabila dibaling but oleh Ferguson pada saingan EPL 2002/2003.

Biarpun Ferguson dilihat sangat tegas, Evra telah memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bersama Manchester United yang pada ketika itu di bawah kendalian Alex Ferguson.

Dalam tempoh 26 tahun di United, Ferguson telah memenangi 38 trofi yang luar biasa, termasuk 13 gelaran Liga Perdana Inggeris, lima Piala FA, dan dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah.