Bekas pemain kebangsaan, Faizal Abu Bakar melihat sekiranya dapat mengundurkan masa semula, beliau ingin tampil bersungguh-sungguh bersama Harimau Malaya.
Hal ini dinyatakan bekas pemain Kedah (kini Kedah Darul Aman FC (KDA FC)) itu kepada program Nindia di Astro Arena yang disiarkan pada hari ini.
Semasa aktif sebagai pemain bola sepak, Faizal pernah menerima panggilan skuad Malaysia dari 2010 hingga 2012. Tempoh itu menyaksikan beliau hanya meraih dua penampilan bersama Harimau Malaya.
Atas sebab itu, Faizal berharap dapat tampil lebih bersungguh-sungguh untuk skuad senior kebangsaan jika masa dapat diundurkan kembali.
Ini kerana beliau percaya jika itu berlaku, itu akan membantu dirinya menambah lebih banyak penampilan bersama skuad negara di pentas antarabangsa.
“Kalau saya boleh putar balik masa, Insya Allah saya akan lebih bersungguh-sungguh masa main dengan skuad kebangsaan. Sempat main tiga tahun, mula 2010 sampai 2012.
“Kalau dapat putar balik masa, banyak saya nak ubah diri. Saya banyak membazirkan masa yang banyak,” katanya.
Meskipun tidak banyak beraksi bersama Harimau Malaya, Faizal mengecapi kenangan manis dengan membantu pasukan itu bergelar juara ASEAN Championship 2010.
Selain Kedah, beliau juga pernah beraksi untuk Kelantan FC, PDRM FC, Melaka United FC dan Negeri Sembilan FC.
Selepas bersara dari dunia bola sepak pada 2020, Faizal kini mengusahakan sebuah akademi bola sepak di Pokok Sena, Kedah.