Tiga mata mungkin sudah menjadi milik Sri Pahang ketika menentang Kedah seandainya Lucas Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85.
Namun sepakannya melewati palang, membolehkan Kedah terus bernafas dan mendapatkan jaringan penyamaan untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 1-1.
Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad, mengakui kecewa apatah lagi pasukan sudah berada di ambang kemenangan namun sedikit kelekaaan menyaksikan mereka mencatat keputusan seri keempat musim ini.
“Kalau kita asyik main seri pun pening,” seloroh Fandi Ahmad selepas perlawanan.
Tambahnya, “Kita sepatutnya boleh mendapat kemenangan tapi mereka ambil kesempatan atas kelalaian kita. Hilang konsentrasi pada 2-3 minit terakhir itu sangat menghampakan, tapi keseluruhan babak kedua adalah sangat baik untuk kita.”
Mengenai kegagalan Lucas menyempurnakan penalti, Fandi Ahmad mengakui ia momen yang merubah skrip perlawanan namun tidak mahu menyalahkan pemain itu.
“Memang kalau lihat kepada keputusan, kegagalan Lucas itu menghampakan, seharusnya penyudah lebih baik, tapi saya tak nak salahkan sesiapa. Diikutkan Stefano (Brundo) yang ambil sepakan itu, saya pun tak sangka Stefano bagi kepada Lucas, tapi bagi saya ia bukan alasan.
“Lucas pun mungkin nak skor setelah lama tidak bermain, saya faham perasaan dia, saya anggap ini lebih kepada bukan rezeki kita pada malam ini,” ujar Fandi Ahmad lagi.
Beraksi di hadapan lebih 7,000 penyokong di Stadium Darulmakmur, skuad tok gajah mendahului menerusi jaringan penalti Stefano Brundo pada minit ke-62.
Kedah berjaya mendapatkan jaringan penyamaan lewat di masa kecederaan menerusi pemain gantian Jonathan Boareto Balotelli untuk pulang dengan satu mata.