Jawapan bersahaja salah seorang peminat cilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menghiburkan ramai orang selepas tamat aksi menentang DPMM pada Sabtu lalu.
Video segmen Tepi Padang terbitan pihak Malaysian Football League (MFL) ketika aksi JDT menentang DPMM di Stadium Sultan Ibrahim mencuri perhatian ramai selepas celoteh dua peminat cilik mencetuskan gelak tawa warganet.
Cuplikan video itu memaparkan sekumpulan penyokong cilik yang ditemu bual seusai perlawanan, dengan salah seorang daripada mereka meluahkan rasa kagum terhadap kehebatan Bergson, yang meledak 4 gol dalam aksi itu.
”Kenapa Bergson hebat sangat?,” soal seorang peminat cilik JDT itu dengan rasa kagum ketika dihulurkan mikrofon.
Persoalan itu lantas dijawab oleh seorang lagi penyokong di sebelahnya dengan jawapan selamba namun padat makna, menggambarkan bahawa kehadiran Bergson di JDT sudah cukup membuktikan kehebatannya.
”Kalau dia tak hebat, dia (Bergson) tak main (dengan) JDT, dik,” jawabnya dengan selamba yang membuatkan hos MFL, Izzati Rahman tidak kering gusi mendengarnya.
Bergson dalam sesi temu bual itu mengucapkan terima kasih di atas sokongan peminat setia Harimau Selatan termasuklah kumpulan penyokong cilik yang turut berada sama di dalam video itu.
”Saya cuma boleh kata terima kasih kerana mereka selalu menyokong saya,” kata Bergson.
”Saya sangat gembira berada di sini dan menerima sokongan padu bahkan dapat mengenali mereka dan seluruh keluarga besar JDT iaitu bos (DYAM Tunku Ismail), staf dan juga rakan sepasukan.”
4 gol yang dicetak oleh Bergson ketika membelasah DPMM 10-0 Sabtu lalu meletakkan penyerang kelahiran Brazil ini di tangga teratas carta penjaring terbanyak Liga Super dengan 9 jaringan.
Misi Bergson dan rakan sepasukan selepas ini adalah untuk mengesahkan tempat di separuh akhir Piala FA apabila akan melayani kunjungan Penang di laman sendiri dalam aksi suku akhir kedua pada Selasa.