Aksi Liga Juara-Juara AFC diteruskan dengan aksi kelab India, Mumbai City FC menentang gergasi Arab Saudi, Al-Hilal. Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium DY Patil itu menyaksikan Al-Hilal berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 2-0.
Namun disebalik kemenangan yang dicatatkan oleh Al-Hilal itu, pemain pertahanan tengah Al-Hilal yang juga merupakan kapten pasukan kebangsaan Senegal, Kalidou Koulibaly telah menunjukkan terjahan bertaraf dunia kepada penyerang Mumbai City, Jorge Pereyra Diaz.
Diaz yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) beberapa tahun yang lalu hampir mengejutkan Koulibaly seawal minit ke-3 perlawanan. Ini selepas Diaz berjaya merampas bola tinggi dari Koulibaly yang dilihat sedikit terleka.
Namun begitu, Koulibaly yang sarat dengan pengalaman telah menunjukkan aksi luar biasa apabila berjaya melakukan terjahan ke atas bola yang sekali gus menafikan gol awal yang cuba dijaringkan oleh Diaz.
Dengan kemenangan 2-0 Al-Hilal ke atas Mumbai City itu, kini kelab dari Arab Saudi itu mengumpul mata yang sama dengan kelab Uzbekistan, Navbahor iaitu dengan 10 mata terkumpul.
Malang buat Mumbai City apabila kekalahan tersebut merupakan kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara AFC. Tambah memeritkan lagi, mereka masih belum menjaringkan sebarang gol setakat ini.