Baru-baru ini, bekas bek tengah Chelsea, Kalidou Koulibaly telah menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal. Dan walaupun ada tanggapan gaji besar sebagai dorongan untuk beliau berpindah, pemain berusia 32 tahun itu melihat ia sebagai jalan membantu warga miskin di negara asalnya, Senegal.
Berpindah dengan nilai perpindahan £20 juta (RM118.7 juta), bekas orang besi Napoli itu menyertai bekas kapten Wolverhampton Wanderers, Ruben Neves. Koulibaly akan menerima gaji sekitar £300,000 (RM178,000) seminggu.
Justeru, dengan gaji tersebut, tidak hairanlah ada melihat beliau sebagai mata duitan. Tetapi dengan duit itulah juga, Koulibaly boleh merealisasikan pelbagai projek kebajikan yang dirancang menerusi pertubuhan Capitaine du Coeur yang diasaskan di Senegal.
“Saya akan dapat membantu seluruh keluarga saya hidup senang, dari ibu bapa hinggalah sepupu-sepupu saya dan paling penting aktiviti-aktiviti sosial pertubuhan Capitaine du Coeur di Senegal.
“Kami bermula dengan membina sebuah klinik pediatrik di perkampungan Ngano, tempat di mana ibu bapa saya dilahirkan dan berkahwin.
“Saya dan abang-abang saya memenuhi sebuah impian. Minggu lepas, kami ke Dakar dan meletakkan batu asas di sana. Ia akan membantu 15 perkampungan, kebanyakan penduduk pada ketika ini perlu berjalan selama 50 minit jika mereka memerlukan hospital.
“Sekarang, kerajaan akan menyokong kami dengan doktor-doktor tetapi saya mempunyai banyak idea lain. Kami akan banyak melabur untuk Senegal dan kemudiannya untuk Afrika Barat.
“Kita akan membantu orang-orang muda. Mereka merupakan masa depan negara ini (Senegal) dan dunia,” katanya dalam satu temubual bersama akhbar Itali, Corriere dello Sport.