Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Stadium Shah Alam.
Perkara itu dikongsikan oleh baginda menerusi satu hantaran di laman sosial hari ini.
Umum mengetahui bahawa Stadium Shah Alam kini dalam proses perobohan selepas hampir beberapa tahun tidak digunakan.
Langkah ini sebagai permulaan bagi usaha pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang bakal melalui beberapa fasa bermula tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2028.
DYAM Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan pandangan peribadinya mengenai stadium yang menjadi gelanggang keramat pasukan Selangor FC suatu ketika dahulu.
Baginda memuat naik satu hantaran dengan menulis mengenai perjalanan JDT yang sudah beberapa kali menjulang trofi di Stadium Shah Alam (SSA).
“Veni (kami datang), Vidi (kami lihat), Veci (kami takluk). Terima kasih SSA,” ujar DYAM Tunku Mahkota Ismail dalam satu hantaran.

Antara pencapaian hebat skuad Harimau Selatan di Stadium Shah Alam yang masih segar dalam ingatan peminat adalah aksi final Piala Malaysia 2017 ketika menewaskan Kedah 2-0.
Kejayaan itu menamatkan penantian 26 tahun negeri Johor untuk menjulang piala berprestij Malaysia itu di gelanggang keramat Gergasi Merah.
JDT juga berjaya muncul juara Piala FA 2016 apabila menumpaskan PKNS FC dengan keputusan 2-1 hasil ledakan Safiq Rahim dan juga Jorge Pereyra Diaz.
Pembangunan KSSA dijangka bakal menelan belanja sekitar RM800 Juta dengan dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf tinggi seperti pusat latihan, fasiliti sukan, stadium dengan kemudahan canggih bertaraf dunia.