Advertisement
“Kami Tak Raikan Keputusan Seri” – Esteban Solari
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Hasrat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengekalkan seratus peratus rekod kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini tidak menjadi kenyataan apabila diikat Kedah Darul Aman FC dengan keputusan 3-3 pada aksi di Stadium Darul Aman semalam.

Keputusan itu nyata memberi kesan kepada barisan pemain dan staf kejurulatihan JDT yang dilihat tidak gembira dengan keputusan seri itu. Bagi pengendali JDT, Esteban Solari, beliau menyifatkan keputusan seri itu sememangnya tidak perlu diraikan oleh pemain JDT kerana mereka mahu memenangi segalanya.

“Dalam sukan bola sepak, jika anda tidak memberikan seratus peratus ketika bermain, anda tidak akan menyelesaikan permainan seperti ini.

“Apabila kita bercakap mengenai keputusan seri ini, kami tidak meraikan keputusan seri ini kerana kami adalah pasukan yang mahu memenangi segalanya. Ianya adalah satu pengajaran buat kami. Dari sudut yang baik, kami bangkit menunjukkan karakter di separuh masa kedua dan hampir memenanginya,” jelas Solari ketika ditemubual Astro Arena selepas perlawanan.

Walaupun JDT dan Kedah berkongsi satu mata di Alor Setar, namun kualiti permainan yang dipamerkan kedua-dua pasukan wajar diberikan pujian.

Dengan keputusan seri yang dicatatkan JDT, mereka kini perlu menunggu perlawanan seterusnya menentang PDRM FC untuk menentukan sama ada juara Liga Super 2023 menjadi milik mereka atau sebaliknya.

Manakala Kedah pula terus kekal di tangga ke-3 liga ketinggalan lima mata dengan pasukan di tangga kedua liga, Selangor FC. Namun begitu, Kedah masih kekurangan satu perlawanan berbanding Selangor. Tempat kedua Liga Super menjadi rebutan beberapa pasukan untuk tiket ke Piala AFC musim hadapan.