Kapten Bali United, Fadli Sausu berharap rakan-rakan sepasukannya tidak patah semangat terutama menjelang perlawanan pertama Piala AFC pada 20 September ini.
Ini selepas Serdadu Tridatu tewas 2-1 kepada PSIS Semarang semalam. Tuan rumah meraih kemenangan menerusi gol Carlos Fortes dan Paulo Gali dengan Bali meraih gol saguhati menerusi Jefferson Assis.
Biarpun masih berada dalam kedudukan lima teratas Liga 1 Indonesia ketika ini, Fadli mahu rakan-rakannya kekal fokus dan konsisten sehingga ke akhirnya.
Ini kerana itu yang menentukan sama ada mereka dapat mencipta kejayaan pada akhir musim nanti atau sebaliknya.
“Kami harus kembali lagi fokus memperbaiki tim untuk dapat tetap bersaing di papan atas klasemen Liga 1 musim ini,” katanya di laman sesawang rasmi Serdadu Tridatu.
Bali menduduki tangga kelima liga dengan 17 mata selepas 11 perlawanan. Mereka selepas ini akan turun menentang RANS Nusantara pada 15 September.
Ini disusuli perlawanan pertama Kumpulan G Piala AFC menentang kelab Filipina, Stallion Laguna pada 20 September ini.