Pasukan Liga Super, Terengganu FC rancak melakukan persiapan bagi jendela perpindahan kedua apabila difahamkan membawa masuk kapten pasukan kebangsaan Tajikistan ke Gong Badak.
Pemain berusia 24 tahun itu merupakan antara calon pengganti bagi mengisi posisi yang dimainkan oleh Domagoj Pušić.
Perancang tengah Croatia itu gagal mempamerkan aksi terbaik apabila bergelut untuk mencari prestasi sebenar.
Khidmat beliau difahamkan tidak akan dikekalkan oleh pengurusan Terengganu yang berusaha gigih mencari pengganti terbaik.
Nama pemain tengah Istiklol, Ehsoni Panshanbe yang juga merupakan kapten pasukan bawah 23 tahun Tajikistan telah bersetuju untuk menyertai skuad Peteh bagi saingan separuh kedua Liga Super.
Beliau juga merupakan gandingan bagi pemain tengah Kedah Darul Aman, Amirbek Juraboev bersama pasukan kebangsaan.
Perkara ini telah pun dikongsikan oleh penganalisis bebas bola sepak Malaysia, Piang Shankly yang mengesahkan khabar angin ini.
Berdasarkan statistik, perancang tengah kreatif ini sudah pun beraksi lebih 15 perlawanan dalam semua kejohanan di sana pada musim ini dan berjaya menjaringkan 4 gol setakat ini.
Kehadiran Ehsoni Panshanbe sudah pasti memberi nilai tambah buat Terengganu dan bergandingan bersama Liridon Krasniqi dan Habib Haroon di bahagian tengah.
Terengganu ketika ini berada pada kedudukan ke-8 Liga Super, 22 mata dipisahkan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).