Selepas 14 tahun menabur bakti bersama Real Madrid, penyerang Perancis, Karim Benzema bakal meninggalkan kelab tersebut untuk menyertai Al-Ittihad.
Khabar ini disahkan oleh wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano. Dengan keputusan ini, bekas penyerang Lyon itu mengikut jejak langkah Marco Asencio, Eden Hazard dan Mariano Diaz yang meninggalkan Bernabeu secara percuma.
Tidak seperti tiga pemain berkenaan yang tamat kontrak atau ditamatkan kontrak oleh Los Blancos, Benzema pula diberi perlepasan khas oleh kelab berkenaan untuk menyertai The Tigers.
Ini sebagai menghargai jasanya semasa di Bernabeu dalam tempoh 14 tahun walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun dengan Real sehingga 2024.
Dalam tempoh tersebut, Benzema menjulang 25 buah trofi termasuk gelaran La Liga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Beliau juga merupakan penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman Los Merengues dengan 353 gol daripada 647 penampilan.
Benzema dikhabarkan bakal menyertai Al-Ittihad dengan kontrak dua tahun dengan bayaran tahunan £345 juta (RM1.9 bilion).
Sekiranya beliau mengesahkan perpindahan tersebut, Benzema bakal menerima bayaran gaji sama yang diterima bekas rakan sepasukannya di Bernabeu, Cristiano Ronaldo di Al-Nassr.
The Tigers ketika ini bergelar juara Saudi Pro League 2022-2023 di bawah bimbingan bekas pengurus Spurs, Nuno Espirito Santo. Mereka bergelar juara dengan kelebihan lima mata berbanding Al-Alami sebagai naib juara musim ini.
Tambah wartawan sukan terkenal itu lagi, Benzema bakal mengucapkan selamat tinggal dalam satu majlis yang diatur kelab pada Selasa ini. Ini disusuli pengumuman beliau sebagai bintang baru liga yang akan dibuat keesokan harinya sekiranya semua berjalan lancar.