Kata-kata pengendali Shanghai Shenhua, Leonid Slutskiy ibarat makan diri sendiri.
Pasukan gergasi China turun dengan misi besar selepas menundukkan Pohang Steleers dengan keputusan 4-1.
Impian besar pasukan tidak kesampaian apabila tunduk 3-0 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim sekaligus tewas kali pertama dalam kempen ACLE musim ini.
Slutskiy menganggap tidak menjadi masalah buat anak buahnya untuk berdepan pasukan yang mempertaruhkan pemain import berkualiti seperti dalam kesebelasan utama JDT.
“Saya fikir ini sesuatu yang menarik bagi kita kerana bermain menentang pasukan yang menggunakan hampir semua pemain import. Menggunakan pemain istimewa untuk corak permainan istimewa.
“Jika anda memiliki keupayaan yang ditawarkan dan gaya, ini sesuatu yang menarik untuk kita. Ini kerana tidak banyak kelab Chinese Super League menggunakan sistem dan taktik sebegini.
“Bagi kita, ini sesuatu yang menarik kerana kita perlu bermain secara bertahan dengan taktik sedemikian. Dan apa yang boleh kita lakukan bila menyerang pasukan sebegini.
Beliau juga memberi kepercayaan kepada kualiti yang dimiliki oleh pemain tempatan China bagi memberikan saingan sengit kepada JDT.
“Tapi secara amnya, ia satu perbezaan yang besar bukan saja untuk perlawanan esok. Saya fikir kelab-kelab (Timur Tengah terutama dari) Arab Saudi memiliki kelebihan kerana mereka tidak memiliki had untuk pemain asing. Kelab-kelab (liga) Jepun, Korea Selatan dan China semua memiliki had. Ini bukan tentang esok tetapi secara amnya, setiap negara memiliki cara tersendiri dari segi pembangunan bola sepak.
“Pemain China kita cukup bagus dan saya tahu ramai pemain China boleh bersaing secara kompetitif dengan pemain import. Saya rasa itu bukan satu isu besar untuk perlawanan esok. Tidak kira pemain dari negara mana yang akan beraksi di atas padang, mereka pemain berkualiti dan beraksi pada tahap yang bagus,” jelasnya sebelum perlawanan.
Situasi itu tidak memihak kepadanya apabila anak buahnya tunduk dengan jaringan besar kepada skuad Harimau Selatan.
JDT akan meneruskan aksi ketiga di ACLE menentang Gwagju pada 22 Oktober 2024 di laman lawan.