Katsuhito Kinoshi Bakal Bawa Haluan Ke Singapura?
MakanBola
Selangor FC

Bekas jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi dilaporkan bakal berkelana ke Singapura.

SNE Sports melaporkan kelibat jurulatih Jepun berusia 61 tahun itu dikesan dalam aksi Singapore Premier League (SPL) antara Tampines Rovers dan Tanjong Pagar United.

Kinoshi menonton perlawanan tersebut bersama presiden The Stags, Shungo Sakamoto. Bekas penolong jurulatih Serbia itu juga dilihat ceria menonton aksi pasukan itu.

Pemerhati bola sepak Singapura, Jimi See melaporkan Kinoshi bakal menyertai barisan kejurulatihan Tampines Rovers. Walau bagaimanapun, tidak diketahui jawatan mana yang akan diisi jurulatih Jepun itu.

“Bekas jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi yang meminggirkan Safuwan (Baharudin) dari skuad utama, dilaporkan akan menyertai barisan kejurulatihan Tampines Rovers.

“Tidak dinyatakan jawatan mana yang akan diisi. Pengarah teknikal atau ketua jurulatih?” katanya di X.

Sekiranya Kinoshi dibawa masuk sebagai jurulatih, ini kali kedua tampuk kejurulatihan The Stags bakal mengalami perubahan musim ini.

Sebelum ini, Noh Rahman memikul tugas sebagai jurulatih tetap menggantikan Akbar Nawas pada September 2025.

Ini dilihat ada kaitan dengan cabaran sukar yang akan dihadapi Tampines Rovers untuk baki musim ini. Selain saingan SPL, The Stags juga memburu slot ke separuh akhir Shopee Cup dan bersaing dalam pusingan 16 ACL2.