Pengendali Selangor FC dari Jepun, Katsuhito Kinoshi mengakui kecewa melihat pasukan itu diikat 1-1 dengan Penang FC.
Selepas menewaskan Harimau Kumbang dalam aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup, Selangor kelihatan dapat meraih satu lagi kemenangan di Stadium Bandaraya.
Kemenangan seakan memihak kepada Merah Kuning apabila mendahului pada separuh masa pertama menerusi penyerang Chile, Ronnie Fernandez.
Walau bagaimanapun, Harimau Kumbang berjaya mencuri satu mata menerusi penalti kapten, Rafael Vitor pada minit akhir perlawanan.
Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Safuwan Baharudin ke atas Alif Ikmalrizal Anuar dalam kotak penalti.
Kinoshi mengakui kecewa melihat pasukannya hanya meraih satu mata di Stadium Bandaraya. Beliau turut memohon maaf kepada penyokong kerana gagal menambah satu lagi kemenangan buat Merah Kuning.
“Saya tak gembira (dengan keputusan ini). Hujan lebat mengganggu rentak permainan bola sepak tetapi tidak mengapa, itu sebahagian daripada bola sepak,” katanya selepas perlawanan.
“Kita dapat satu mata daripada kosong mata, itulah keputusan (yang kita dapat) hari ini. Saya mohon maaf kepada penyokong yang datang menyokong saya (dan pasukan) kerana gagal mendapatkan tiga mata.
“Ia satu kekecewaan bagi saya. Tapi kita akan melangkah ke depan dan fokus perlawanan seterusnya (aksi separuh akhir kedua MFL Challenge Cup) menentang Penang di gelanggang sendiri.”
Selangor kini di tangga kedua liga dengan 52 mata, 13 mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Merah Kuning kini mengalihkan fokus kepada aksi separuh akhir kedua MFL Challenge Cup menentang lawan sama pada 2 Februari. Selangor memiliki kelebihan satu gol untuk aksi berkenaan.