Kelab gergasi J1 League, Kawasaki Frontale sekali lagi menerima padah apabila mencatatkan kekalahan berdepan Albirex Niigata dalam satu aksi liga semalam.
Pasukan kendalian Toru Oniki dalam momentum terbaik selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Shonan Bellmare tempoh hari.
Momentum cemerlang itu bagaimanapun gagal diteruskan di laman sendiri apabila ditundukkan oleh Albirex Niigata.
Sungguhpun mendahului permainan pada babak pertama menerusi ledakan Joao Schmidt pada minit ke-23, pelawat kembali menyamakan kedudukan selang 7 minit menerusi Koji Suzuki.
Keputusan babak pertama terikat 1-1.
Bersambung babak kedua, giliran pasukan lawan menjaringkan gol kedua menerusi N. Arai pada minit ke-59 sebelum cubaan bangkit ditunjukkan oleh Kawasaki Frontale apabila memperoleh sepakan penalti menerusi Shin Yamada untuk menyamakan kedudukan.
Albirex Niigata menghukum kealpaan pertahanan Kawasaki Frontale apabila Shusuke Ota menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80.
Keputusan kekal hingga wisel penamat sekaligus menyaksikan Kawasaki kehilangan 3 mata penting.
Kawasaki kini berada di tangga ke-9 liga dan hanya mencatatkan 11 kemenangan daripada 29 perlawanan.