Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan kehadiran semula Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend memaklumkan aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam bakal diadakan di SNBJ.
Friend melihat aksi di SNBJ bakal memberi suntikan semangat kepada Harimau Malaya apabila turun menentang Pahlawan Bintang Emas.
“Ini bukan sekadar aksi kelayakan, ini adalah detik untuk rakyat Malaysia bersatu di belakang Harimau Malaya dan menunjukkan kekuatan semangat kebangsaan kita.
“Kami sedang membina sesuatu yang istimewa. Kami tak sabar untuk melihat para penyokong memenuhi Bukit Jalil dan menjadikannya malam yang akan dikenang selamanya,” katanya.
Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengalu-alukan khabar baik tersebut. Ini kerana KBS telah mengatur pelbagai langkah untuk menjadikan SNBJ sebagai gelanggang tuan rumah skuad negara.
“Saya mengalu-alukan hasrat FAM untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan Harimau Malaya akan datang.
“Ini kerana memang segala persiapan kita untuk Harimau Malaya. (Ini) gelanggang tuan rumah untuk mereka, jadi kita mengalu-alukan berita baik ini,” katanya.
Malaysia meraih kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi pertama kelayakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 25 Mac lalu.
Selain beraksi di SNBJ, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski juga akan mengatur kem awal bagi membantu persiapan pasukan itu menentang Vietnam.