Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meningkatkan mutu padang di Malaysia tatkala Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ditambah baik hasil sokongan DYAM Tunku Ismail.
Pada awal tahun 2024, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) telah bersetuju untuk menawarkan geran bernilai RM500 ribu kepada setiap negeri untuk menyelenggara sistem saliran (RM300 ribu) dan penukaran rumput (RM200 ribu).
Setelah selesai proses penukaran rumput oleh setiap negeri, DYAM Tunku Ismail telah mengurniakan RM300,000 kepada setiap kelab Liga Super bagi tujuan penyelenggaraan rumput.
DYAM Tunku Ismail juga menekankan agar setiap kelab untuk menaik taraf fasiliti terutamanya padang sejak sekian lama selain menekankan kepentingan memiliki padang yang berkualiti tinggi.
KBS dan juga YB Hannah Yeoh menyambut baik saranan baginda dan meletakkan usaha sebaik mungkin untuk memastikan perkara ini terlaksana sekaligus meningkatkan mutu bola sepak Malaysia secara tidak langsung.
KBS juga menawarkan geran keseluruhan sebanyak RM7 juta kepada semua negeri bagi menaik taraf saliran serta penanaman rumput padang di stadium utama negeri-negeri.
Sehingga kini, KBS telah menyalurkan geran berjumlah RM4.6 juta kepada sepuluh (10) buah negeri yang telah mengesahkan penerimaan tawaran tersebut.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh menghargai sokongan yang diberikan oleh DYAM Tunku Ismail dalam usaha untuk meningkatkan kualiti padang terutamanya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Saya ingin mengucapkan setinggi
penghargaan bagi pihak Kementerian Belia dan
Sukan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di atas sokongan berterusan dalam menambah baik padang bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Ini kerana apabila kita menyebut mengenai penyelenggaraan padang bola sepak, kita semua sedia maklum bahawa Johor merupakan negeri yang menerajui dalam isu ini.
Kementerian juga mengambil langkah lebih baik dengan menukar kontraktor padang SNBJ bagi memastikan proses penyelenggaraan dapat berjalan lancar.
“Kementerian juga telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan isu padang banjir dan isu rumput termasuk menukar kontarktor yang lebih baik dalam penyelenggaraan padang,” tambah YB Hannah Yeoh pada mesyuarat ketiga, penggal ketiga, parlimen ke-15 2024.
Kini, SNBJ difahamkan dalam fasa penilaian bagi proses penukaran rumput hibrid dengan tapak semaian seluas 8 ekar sudah mula diusahakan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).