Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam dilihat terus berjalan lancar menjelang tempoh akhir perobohan pada pertengahan tahun 2025.
Sebelum ini, kerja-kerja perobohan sudah mula digerakkan. Ini termasuk kerja merobohkan bumbung Stadium Shah Alam pada September lalu.
Kini, pengurusan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) memuat naik keadaan terkini perobohan stadium ikonik berkenaan.
“Imej terkini di perkarangan Stadium Shah Alam menunjukkan para pekerja bertungkus-lumus untuk memastikan kerja-kerja perobohan berjalan dengan lancar. Fasa perobohan dijangka siap pertengahan tahun 2025 sebelum fasa pembinaan bermula,” katanya dalam satu kenyataan.
KSSA turut memaklumkan fokus perobohan ditumpukan kepada Stadium Shah Alam terlebih dahulu. Ini selepas beberapa laporan media sebelum ini menyatakan Stadium Malawati juga dalam proses untuk dirobohkan.
“Untuk makluman, Stadium Malawati belum lagi dirobohkan. Hanya Stadium Shah Alam yang sedang dirobohkan di sebelahnya,” ujarnya.
KSSA bakal dibina mengikut tiga fasa di mana fasa pertama membabitkan perobohan stadium lama dan pembinaan stadium baru. Fasa ini dijangka siap pada tahun 2026.
Fasa kedua pula membabitkan pembinaan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi. Sementara fasa terakhir pula membabitkan pembinaan hotel dan terminal bas bersepadu.
KSSA juga bakal dihubungkan dengan sistem keretapi aliran ringan (LRT). Ini kerana stesen LRT bagi Laluan Shah Alam (LRT3) telah dibina berhampiran kawasan Stadium Shah Alam dan bakal beroperasi pada 2025.