Selepas 30 tahun berdiri teguh di Shah Alam, akhirnya bumbung Stadium Shah Alam runtuh menyembah bumi.
Video runtuhnya bumbung stadium berkenaan tular di media sosial baru-baru ini. Ini merupakan sebahagian daripada kerja-kerja merobohkan Stadium Shah Alam yang giat berjalan.
Dengan runtuhnya bumbung Stadium Shah Alam, proses perobohan stadium yang memiliki kapasiti 80,372 tempat duduk itu yang bermula sejak Julai lalu kini memasuki fasa baru.
Sebaik video runtuhnya bumbung Stadium Shah Alam dimuat naik di internet, video tersebut tular di media sosial.
Pengguna TikTok, izue_salam yang memuat naik video berkenaan berharap proses perobohan itu membawa kepada pembinaan sebuah stadium baru yang lebih hebat di Shah Alam.
“Perobohan secara terkawal bumbung Stadium Shah Alam. Lepas ini, Shah Alam akan ada stadium baru yang lebih hebat,” katanya.
Mengikut perancangan, Stadium Shah Alam bakal digantikan dengan sebuah stadium baru iaitu Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA). Projek KSSA bakal membabitkan tiga fasa.
Fasa pertama membabitkan perobohan stadium lama dan pembinaan stadium baru. Pembinaan stadium baru ini turut meliputi ruang perniagaan dan tempat letak kereta serta dijangka siap pada 2026.
Fasa kedua pula membabitkan pembinaan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi. Sementara fasa terakhir pula membabitkan pembinaan hotel dan terminal bas bersepadu.
KSSA juga bakal dihubungkan dengan sistem keretapi aliran ringan (LRT). Ini kerana stesen LRT bagi Laluan Shah Alam (LRT3) telah dibina berhampiran kawasan Stadium Shah Alam dan bakal mula beroperasi pada 2025.