Pemangku jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali gembira dengan aksi kebangkitan yang dipamerkan pasukan itu baru-baru ini.
Terengganu berharap dapat menamatkan penantian kemenangan mereka dengan Perak FC sejak menewaskan KL City FC pada 10 Ogos lalu.
Aksi liga yang berlangsung di Manjung pada 26 Oktober lalu menyaksikan Peteh ketinggalan dua kali menerusi penalti Luka Milunovic dan Luciano Guaycochea.
Meskipun ketinggalan, itu tidak mematahkan semangat juang anak buah Badrul. Malah, mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nelson Bonilla dan penalti Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.
Badrul mengakui keinginan Terengganu mengakhiri kemarau kemenangan mengakibatkan pasukan itu melakukan kesilapan mudah terutama di bahagian pertahanan.
Pada masa sama, beliau gembira melihat anak buahnya terus berjuang mendapatkan mata sehingga ke wisel penamat.
“(Kesilapan) mudah yang kita buat di belakang, di penjaga gol dan penyerang tidak menjaringkan gol. Jadi, kita tahu inilah bola sepak.
:Kita terlalu menginginkan kemenangan, kita terlupa yang di belakang. Bagi saya, ini satu kebangkitan buat pemain-pemain untuk dapat satu mata pada petang ini,” katanya kepada Nadi Arena.
Badrul turut berharap penyokong terus setia di belakang Terengganu. Ini kerana sokongan mereka cukup penting untuk mengakhiri kemarau kemenangan yang dihadapi pasukan itu.
“Pemain-pemain memerlukan sokongan daripada peminat-peminat. Dan bagilah peluang kepada saya dan pemain-pemain untuk membuktikan pada perlawanan yang akan datang,” katanya.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu jatuh ke tangga keempat liga dengan 18 mata, dua mata di belakang Sabah FC.
Selepas ini, Peteh bakal melayan kunjungan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 1 November ini.