Kedah telah membawa masuk J. Partiban secara pinjaman pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Super musim ini. Pemain sayap Kedah, Fayadh Zulkifli menyambut baik kedatangan J. Partiban dalam memperkuatkan lagi skuad Kedah Darul Aman.
Fayadh melihat J. Partiban bakal memberi impak yang besar buat pasukan Kedah dan mampu membantu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Lee Tuck.
“Bagi saya kehadiran J. Partiban memberi impak yang besar dan boleh membantu Kedah dalam situasi pemergian Lee Tuck. Mungkin J. Partiban mampu memberi sesuatu buat Kedah.” ujar Fayadh Zulkifli dalam temu ramah bersama pihak Astro Arena.
Menurut Fayadh lagi, skuad Kedah sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi tentangan Perak dalam saingan Piala Malaysia yang bakal bermula 3 Ogos ini. Kedah mahu memberikan aksi yang terbaik dalam aksi derbi utara kelak.
Pemain berusia 24 tahun itu juga tidak memandang rendah cabaran Piala Malaysia kali ini.
J. Partiban bakal memperkukuhkan lagi jentera serangan Kedah setelah Lee Tuck mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan tersebut akhir Julai lalu.
Walaupun berbeza posisi dimana J. Partiban merupakan pemain sayap manakala Lee Tuck pula lebih dominan di bahagian tengah pasukan, percaturan taktikal Nafuzi Zain dalam membina serangan pastinya ditagih bagi memastikan jentera serangan Kedah kekal utuh.
Kedah yang kini berada di tangga ketiga liga bakal menentang seteru utara mereka, Perak yang berada di kedudukan ke-11 liga dalam saingan Piala Malaysia 2023.