3 kelab berisiko tiada lagi dalam saingan Liga Super 2025-2026 termasuk Kedah Darul Aman.
Saingan Liga Super musim 2024-2025 sudah makin hampir ke penghujungnya dengan perlawanan minggu ke-21 bakal bermula pada Jumaat, 14 Februari ini.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa khabar angin yang bertiup kencang terdapat pasukan-pasukan yang tidak akan layak beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.
Perkara ini didedahkan oleh seorang ejen yang berdaftar dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Dr. Faidauz Azhar yang melihat masalah kewangan menjadi sebab kelab-kelab ini sukar untuk bertanding.
“Jika pasukan ini menghadapi masalah seperti laporan FIFA daripada pemain import yang membabitkan kewangan yang besar.”
“Berkemungkinan pasukan-pasukan ini sukar bertanding dan juga mendapatkan lesen kebangsaan, terpulang kepada budi bicara Malaysian Football League (MFL) serta First Instance Body (FIB),” kata Dr. Faidauz kepada Astro Arena.
Jelas beliau, 3 kelab tersebut iaitu Kelantan DN, Sri Pahang dan Kedah mempunyai jumlah penyokong yang besar, oleh itu, agak rugi andai pasukan-pasukan ini tiada lagi di liga musim hadapan.
“3 kelab ini memiliki penyokong yang ramai. Kelantan Darul Naim, Sri Pahang dan Kedah Darul Aman. Maka, sayanglah jika mereka tidak dapat beraksi.”
“Banyak bakat-bakat baru yang datang daripada tiga pasuka ini,” tambah beliau lagi.
Saingan Liga Super kini memasuki minggu ke-21 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) masih menerajui takhta liga sambil diekori oleh pasukan Selangor dan Sabah.