Selepas pagi ini mengumumkan perpindahan bekas penyerang Selangor FC, Ifedayo Olesegun, Kedah Darul Aman (KDA) FC terus memperkuat skuad mereka. Terbaru, Sang Kenari mengumumkan perpindahan pemain tengah Bahrain, Moses Atede.
Perpindahan Atede ke KDA FC dianggap satu perpindahan yang hebat buat pengurusan kelab. Ini kerana pemain tengah berdarah Nigeria itu merupakan bekas pemenang Piala AFC 2021 semasa bersama kelab lamanya, Al-Muharraq SC.
Kehadiran pemain berusia 25 tahun ini dijangka bakal memperkuat jentera tengah Sang Kenari. Dengan reputasi yang dimiliki, ramai penyokong KDA FC tidak sabar melihatnya bergandingan dengan kapten Manuel Ott dan Amirbek Jurobaev.
Atede memeterai kontrak dengan KDA FC untuk baki kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Beliau dijangka akan didaftarkan di bawah kuota pemain import Asia sama seperti Ifedayo.
Dengan kehadiran duo tersebut, maka KDA FC mempunyai sembilan awang import yang boleh dimanfaatkan untuk baki kempen Liga M musim ini.